PELANTIKAN FIRMA GUAMAN SUZANA ALI & PARTNERS SEBAGAI PENASIHAT UNDANG-UNDANG LEMBAGA KAUNSELOR MALAYSIA

Tahniah & Selamat Datang Suzana Ali & Partner

Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Firma Guaman Suzana Ali & Partners sebagai Penasihat Undang-Undang LKM dalam usaha memperkukuh tadbir urus, pematuhan perundangan dan pengawalseliaan profesion kaunseling di Malaysia, selaras dengan Akta Kaunselor 1998 [Akta 580].

Ditubuhkan pada 1 Januari 2020, firma guaman ini diterajui oleh tiga orang rakan kongsi, iaitu Suzana Ali, Shahriman Ruslan dan Nur Farahizzah Ahmad Nazri. Firma ini memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang perundangan termasuk litigasi sivil, undang-undang korporat dan komersial, perundangan kontrak, undang-undang pekerjaan serta pengurusan pertikaian dan prosiding undang-undang.

Pelantikan ini mencerminkan komitmen berterusan LKM untuk memperkukuh pengurusan hal ehwal perundangan melalui khidmat nasihat profesional, khususnya dalam memastikan pelaksanaan fungsi dan tanggungjawab LKM sebagai badan pengawal selia profesion kaunseling dilaksanakan secara teratur, telus dan berlandaskan undang-undang.

LKM yakin bahawa kepakaran dan pengalaman firma ini akan menyumbang kepada pemantapan tadbir urus organisasi, pemerkasaan integriti profesion kaunseling serta perlindungan kepentingan awam.

Lembaga Kaunselor Malaysia merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan selamat datang kepada Firma Guaman Suzana Ali & Partners sebagai Penasihat Undang-Undang LKM.